BAGAIKAN sebuah kebetulan atau sememangnya menjadi pilihan si sutradara, Osman Ali, aktor kacak, Remy Ishak sekali lagi dipertemukan dengan aktres cantik, Maya Karin dalam filem terbaru arahan Osman, Sejoli.

Untuk rekod, Maya dan Remy pertama kali berlakon bersama dalam filem Anak Halal, diikuti Cun! di mana mereka digandingkan bersama dan kemudiannya sekali lagi bergandingan dalam filem Sejoli.

Biarpun kali ini tidak lagi membawakan watak pasangan kekasih yang berakhir dengan kebahagiaan, namun Maya dan Remy tetap juga perlu menjayakan beberapa babak romantis bersama.

Di tebak dengan label anak emas yang diberikan kepada kedua pelakon ini kerana sering menjadi pilihan Osman, Remy berkata : "Istilah anak emas kepada satu-satu pengarah sebenarnya tak wujud pun, cuma hanya kerana selalu bekerjasama barulah ada orang labelkan sebagai anak emas.

"Tapi bagi saya, semua pengarah akan senang bekerjasama bila hubungan itu rapat dan kerja itu jadi lebih mudah. Macam saya bila selalu bekerjasama dengan Osman, jadi saya tahu apa dia mahu bila kita bekerjasama.

"Tapi saya bukan selalu bekerjasama dengan Osman sahaja, tapi dengan Khabir Bathia, dan beberapa pengarah lain pun saya selalu bekerjasama.

"Cuma nama Osman agak dikenali, jadi perhatian yang diberikan lebih. Maka timbulkan label anak emas, padahal tidak pun kerana semua pengarah yang saya bekerjasama selesa," katanya yang pernah menolak beberapa tawaran dari Osman kerana pertindihan jadual.

Tambah Remy lagi, dia juga sebenarnya hampir menolak untuk terlibat dalam filem Sejoli kerana mahu berehat.

"Ketika ditawarkan watak Hardy dalam filem Sejoli, saya sedang berehat selepas tamat penggambaran filem Bravo 5, filem di mana saya memerlukan tenaga fizikal dan mental yang kuat.

"Dalam masa tengah bercuti, Osman tawarkan watak dalam filem ini dan saya ada menolak. Tapi lepas dia jelaskan watak Hardy hanya watak ringan dan tanda sokongan kepada kawan-kawan seperti Bront Palarae, jadi saya terima filem ini.

"Watak Hardy ini lebih ringan dan saya hanya penyokong kepada watak Gina yang dilakonkan oleh Maya. Tidak banyak yang saya boleh katakan mengenai watak saya ini kerana watak Hardy hanya kecil saja," jelasnya.

Sementara itu, Maya berkata, tidak ada istilah anak emas sebaliknya keputusan dia untuk berlakon di bawah arahan Osman adalah kerana dia selesa berbuat demikian.

"Sejoli adalah filem keempat saya bersama Osman selepas Anak Halal, Cun dan Ombak Rindu. Secara jujurnya saya tidak kisah untuk bekerjasama dengan sesiapa pun dan tidak ada istilah lebih istimewa daripada yang lain ketika bekerja," katanya.

Berkongsi mengenai wataknya dalam filem ini, Maya berkata, dia membawakan watak Gina, seorang yang kelam kabut dan membawa diri selepas ditinggalkan kekasihnya, Hardy.

"Semasa bercuti untuk menenangkan diri, saya berkenalan dengan Joe yang dilakonkan oleh Bront yang turut kecewa apabila kekasihnya Nita (Izara) meninggalkannya. Lebih konflik bila Hardy dan
Nita akan berkahwin tidak lama lagi, menyebabkan mereka berpakat untuk mengagalkan majlis tersebut.

"Dek kerana saya membawakan watak seorang wanita yang kelam kabut, saya jadi terbawa-bawa karakter itu hingga ke luar set dan saya turut jadi kelam-kabut sehingga ada ketikanya melanggar air, meja dan sebagainya," katanya.

Maya berkata, bagi mereka yang meminati filem Cun, mereka tidak patut melepaskan peluang menyaksikan filem Sejoli 20 Februari ini.


Tiada Lagi Cinta


Jika sebelum ini, Maya dan Remy sering digosipkan menjalinkan hubungan cinta, namun ternyata mereka sebenarnya sama-sama sudah mempunyai pasangan sendiri.

Maya dalam satu pengakuannya akhir tahun lalu mengakui sedang berkawan dengan seseorang jejaka Inggeris dan mengakui dalam proses mengenali hati budi masing-masing.

Dan dalam pertemuan baru-baru ini, di tebak mengenai perkembangan hubungannya, Maya berkata : "Hubungan kami masih seperti biasa dan saya tidak nampak sebarang perancangan untuk berkahwin tahun ini.

"Sebab tahun ini fokus saya untuk kerjaya seni dan tengoklah tahun depan ke atau tahun seterusnya (ketawa). Lagipun saya tidak letak sebarang sasaran bila untuk berkahwin selepas saya sedar dalam hidup ini bukan semua kita boleh rancang.

"Jadi biarlah masa yang menentukannya," ujarnya yang tidak lekang dengan senyuman.

Berbeza pula dengan Remy, tatkala di tebak mengenai hubungannya dengan anak Wan Hanafi Su iaitu Budi Citawan yang dikenalinya sejak setahun yang lalu, dia mengakui Budi adalah wanita yang paling rapat dengannya kini, namun enggan berbicara lebih mengenai perhubungan itu.

"Saya sibuk bekerja dan tak fikir lagi mengenai perkahwinan. Saya sebenarnya malu nak berbicara hal percintaan dan perkahwinan sebab kami belum ada apa-apa lagi.

"Lagipun benda-benda yang melibatkan hal perhubungan saya memang tak selesa nak bercakap di khalayak. Apatah lagi, saya jenis yang akan terus buat dan susah sikit nak bercakap," jelasnya.


Remy Tak Kisah Soal Populariti


Dalam pada itu, berkongsi perkembangan terkininya, Remy berkata, dia akan terlibat dengan penggambaran filem Andai Itu Takdirnya arahan Jason Chong terbitan Grand Brilliance.

"Jika tiada aral melintang, kami akan mula penggambaran 25 Februari ini dan saya sekali lagi akan bergandingan bersama Bront dan seorang pendatang baharu sebagai heroin dan saya tak pasti siapa.

"Manakala drama lakonan saya, Jiwa, masih lagi ditayangkan di TV3," katanya.

Ditanya mengenai karier seninya yang sedikit tenggelam timbul, Remy berkata, sebagai pelakon dia tidak terlalu memikirkan mengenai perkara itu.

"Saya tidak kisah bila orang kata saya tenggelam timbul dan saya hanya jalankan kerja saya sebagai pelakon. Kalau ada projek yang sesuai dengan saya, saya terima.

"Tapi ada projek yang ditahan lama, selepas setahun baharu keluar. Tapi saya tidak fikir perkara itu akan menenggelamkan saya," katanya yang tidak pernah fikir untuk meletakkan diri sebagai pelakon eksklusif.

Remy berkata, bagaimanapun, dia agak memilih tawaran kerana ia lebih bersesuaian dengan kematangan dalam bidang lakonan.

"Kalau boleh saya tidak mahu berlakon sebagai pelajar sekolah atau watak bapa yang ada dua anak tapi saya lihat juga pada kesesuaian, mungkin watak yang lebih matang," katanya.

Keterujaan Maya


Sementara itu, Maya berkata, selepas Sejoli, dia menantikan tayangan tiga lagi filem lakonannya iaitu Lagenda Budak Setan 3, Jiwanita dan Nota.

Dalam pada itu, dia juga tidak sabar untuk melancarkan album terbaharu dan sebagai permulaan, dia sudah menyiapkan muzik video lagu terbaharunya, Teka-Teki.

"Saya sudah keluarkan sedikit sedutan muzik video itu dan album tersebut juga sudah disiapkan. Album tersebut mengandungi tujuh buah lagu.

"Namun detail mengenai album tersebut saya tidak mahu ceritakan lagi, tunggulah pelancaran album itu nanti. Saya memang agak teruja kerana sudah lama tidak tampil dengan album baru," katanya.