18 February 2014

Isu single baharu Siti tiru lagu Rihanna

Isu Single Baharu Siti Tiru Lagu Rihanna

  
PERTAMA kali Datuk Siti Nurhaliza menyanyikan single terbaharunya yang berjudul Jaga Dia Untuk Ku yang dicipta oleh Aubrey Suwito ketika konsert amal Live in KLCC Where The Heart Is pada minggu lalu.
 
Bagaimanapun, timbul kritikan bahawa lagu itu mempunyai rentak yang mirip lagu Russian Roulette milik penyanyi antarabangsa, Rihanna.
Menjawab tuduhan itu, tegas Siti, dia tidak beranggapan lagu itu diciplak bulat-bulat, sebaliknya ia mengambil inspirasi daripada lagu penyanyi popular masa kini termasuk Rihanna dan Pink.
“Siti tidak pernah mendengar lagu tersebut (Russian Roulette) sebelum ini dan adalah lebih baik untuk merujuk pada Aubrey Suwito berkenaan perkara ini kerana dia yang mencipta single Jaga Dia Untuk Ku.

  “Mungkin secara kebetulan, rentak, tempo dan bunyinya kedengaran seakan sama tapi melodi berbeza. Bukan mahu tiru 100 peratus tapi dijadikan inspirasi.
“Rasanya tidak timbul isu berkaitan menciplak lagu-lagu penyanyi lain dan Siti tidak akan sesekali berbuat demikian,” jelasnya yang ditemui pada majlis sidang akhbar Secretaries’ Week Luncheon Lebih Indah di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Gosip Adib
Single Jaga Dia Untuk Ku, kata Siti, menceritakan tentang pahit maung sepanjang tempoh dia menjaga suaminya, Datuk Sri Khalid Mohamad Jiwa ketika terbabit dengan kemalangan motosikal di New Zealand pada bulan April dua tahun lalu.
Tambahnya, single itu juga akan dimuatkan dalam album terbaharunya yang dijangka akan dilancarkan pada bulan April nanti.
“Sebanyak lima buah lagu telah dirakam dan tinggal lagi lima lagu sebelum album ini siap sepenuhnya tidak lama lagi. Boleh dikatakan album kali ini lebih moden dan segar tapi masih mengekalkan gaya Siti,” katanya mengenai album yang melibatkan komposer seperti Adi Sixth Sense, Awi Rafael dan Ade Govinda.
Dalam pada itu, Siti turut diminta mengulas mengenai hubungan anak tirinya, Adib Khalid yang kelihatan hadir bersama pelakon popular, Ummi Nazeera pada konsert amalnya di Plenary Hall, KLCC baru-baru ini.
“Mereka memang saling kenal-mengenali sejak dulu lagi, Ummi adalah seniornya ketika menuntut di Melbourne, Australia. Biasalah budak-budak nak berkawan dan Siti pun kena terbuka, belum tentu kita jatuh hati kalau berkawan pun.
“Sebelum ini pun, Adib pernah digosipkan dengan pelakon baharu di bawah Metrowealth, Nina Iskandar dan memang dia mengakui terkedu apabila terkena gosip juga.
“Lagipun, baru sekali dia menghadiri malam gala tayangan perdana filem bersama artis baharu itu, terus kena gosip,” kata Siti yang banyak menasihatkan Adib mengenai selok-belok dunia hiburan.
Rai setiausaha
Sementara itu, Siti bakal menjayakan Secretaries’ Week Luncheon Lebih Indah Bersama Datuk Siti Nurhaliza yang dijadualkan berlangsung pada pukul 12 tengah hari, 15 dan 16 April nanti di Dewan Tamingsari, Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.
Persembahan dua hari yang bertemakan Fantasy Garden itu akan menggabungkan seni dan budaya bersama landskap alam semulajadi dilengkapi dengan beberapa lukisan dan arca.
Kata Ketua Perhubungan Awam Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur, Farah Halim, minggu setiausaha itu pernah dijayakan Siti pada tahun lalu di hotel yang sama dan mendapat sambutan luar biasa.

“Maka, tahun ini kami menjemput Datuk Siti Nurhaliza sekali lagi untuk menjayakan majlis yang akan berlangsung selama dua hari berturut-turut, semata-mata meraikan setiausaha bersama majikan masing-masing,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...