Hanez Suraya Akui Bakal Suami Kuat Cemburu
PETALING JAYA: Pelakon Hanez Suraya memberitahu sudah bersedia
memikul tanggungjawab sebagai isteri dan membataskan aktiviti kerjaya
lakonan selepas berumah tangga bagi menjaga perasaan suami.
Hanez, 29, berkata, biarpun belum membincangkan tentang perjalanan
kerjaya seninya selepas berkahwin, namun dia akur andainya terpaksa
menarik diri dari dunia seni.
"Lepas berkahwin nanti kenalah hormat keputusan suami, sekarang sahaja
dia agak cemburu kalau ada sesi fotografi yang memerlukan saya bergambar
mesra dengan lelaki, inikan pula berlakon berpelukkan.
"Sejak bercinta dengannya, saya juga sudah tidak boleh keluar malam, kalau keluar siang sekalipun kena balik awal.
"Setakat ini belum ada perbincangan tentang kerjaya, tetapi kalau dia
tidak benarkan saya berlakon pasti dia akan gantikan saya dengan sesuatu
yang lain untuk dilakukan," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.
Pelakon Autumn Di Hatiku ini mengakui bakal mendirikan rumah
tangga dengan seorang ahli perniagaan berasal dari Kuala Lumpur yang
berusia 34 tahun pada tahun ini.
Tambah Hanez, dia kini sibuk menguruskan persiapan perkahwinan tersebut
dan mencari lokasi yang sesuai untuk majlis 'raja sehari' itu.
"Insya-Allah pada tahun ini kami akan berkahwin, tarikh sudah ada tetapi
belum boleh diumumkan kerana masih lagi mencari lokasi yang sesuai.
"Kalau boleh saya tidak mahu bertunang tetapi tengok macam mana keputusan keluarga nanti," katanya.
Dalam pada itu, Hanez berkata, dia mengimpikan untuk mengadakan majlis bertemakan perkahwinan dalam taman.
Sementara itu, ditanya tentang keistimewaan bakal suaminya itu, Hanez
berkata, lelaki itu menunjukkan komitmen yang tinggi untuk mengambilnya
sebagai isteri.
"Dia bukan sahaja menunjukkan tanggungjawab kepada saya, tetapi juga kepada keluarga saya.
"Dia seorang yang matang biarpun tidak romantik, namun saya rasa selamat berada di sisinya," katanya.
Dalam perkembangan lain, Hanez bakal keluar dengan drama bersiri Autumn Di Hatiku musim kedua di Tonton tidak lama lagi.
No comments:
Post a Comment